Friday 8 November 2013

La Tahzan, Sahabati !

بسم الله الرحمن الرحيم

Buah rambutan buah mangga,
Raja buah adalah durian,
Sila baca cerpen ana,
Baru berjinak dalam penulisan.

Assalamualaikum. Ana baru nak cuba-cuba untuk membuat cerpen. Ada beberapa kawan ana yang suka buat cerpen. Jadi, ana pun nak cuba. Bacalah. Komen juga. Semoga komen yang membina. Syukran.


LA TAHZAN, SAHABATI
Coretan : Muhammad Syazwan bin Mohamad Zain

Jam sudah menunjukkan pukul lapan pagi. Suasana di dalam kelas 5 Sains sekolah Maahad Lughatul Quran agak hening. Kelihatan ustazah Nuriyah, guru kelas mereka berada di hadapan kelas. Ustazah Nuriyah yang mempunyai iras-iras wajah Heliza Helmi sungguh cantik mengenakan baju kurung Johor berwarna biru laut bersama tudung merah jambu yang agak labuh. Di tangannya terdapat slip-slip keputusan percubaan Sijil Penilaian Malaysia ( SPM ). Seorang demi seorang anak didiknya dipanggil  olehnya. Pelajar tingkatan 5 Sains sedang menanti penuh debaran keputusan penuh percubaan SPM mereka.

“Muhammad Fakhrul Fitri bin Mohamad Azri,” panggil ustazah Nuriyah.

Seorang pelajar yang memakai baju berwarna merah jambu cerah bangun, menuju ke arah ustazah Nuriyah. Dengan tangan kanannya, Fitri menyambut slip keputusannya. Kelihatan senyuman hambar tercalit di wajahnya.

“Terima kasih cikgu,” ucap Fitri. Dia tidak terus melihat keputusannya sebagaimana pelajar lain. Setelah duduk, dia melihat slipnya. Wajahnya muram dan sugul. Dia hanya memperoleh satu A sahaja iaitu subjek Bahasa Melayu. Lebih malang lagi, dia mendapat gred E bagi subjek Matematik Tambahan dan Sejarah.

Imran yang duduk di sebelah Fitri merangkap sahabat baiknya, melihat wajah Fitri yang selama ini ceria dan murah senyuman kini menjadi sebaliknya. Imran juga memakai pakaian seragam yang sama seperti Fitri memandangkan kedua-dua mereka adalah pengawas sekolah.

Baru sahaja dia ingin bertanya tentang keputusan Fitri, namanya dipanggil.

“Muhammad Imran Rayyan bin Ahmad Hamdan,” Imran segera bangkit daripada tempat duduknya lalu bergerak mengambil slipnya. Berbeza dengan Fitri, dia terus melihat keputusannya lalu mengucap syukur. Dia tersenyum lebar.

“Alhamdulillah,” Imran segera kembali ke tempat duduknya. Dia juga ingin tahu keputusan sahabatnya.

            “Fitri, dapat apa?” Soal Imran.
Tanpa berkata apa-apa, Fitri menggelengkan kepala lalu menghulurkan slip keputusan percubaan SPM miliknya. Imran mengambilnya lalu diperhatikan setiap gred bagi subjek yang diambil oleh mereka. Dia mengangguk dan kini mengerti mengapa sahabatnya berkelakuan seperti itu.

            Sambil menghulurkan kembali slip keputusan tersebut, Imran menyuruhnya bersabar, “Sabarlah. La tahzan sahabati. Ana akan tolong anta,”. Fitri hanya mengangguk.

“Syukran,” Senyuman cuba diukir kepada sahabatnya.

Selesai memberikan semua slip keputusan kepada anak didiknya, ustazah Nuriyah memulakan bicaranya.

“Alhamdulillah, keputusan percubaan SPM kali ni ramai yang dapat keputusan yang baik. Terbaik adalah 8A 3B, Rayyan Imran” Semua mata tertumpu kepada pelajar yang memakai cermin mata itu. Imran hanya tersenyum.

“Saya harap semua pelajar tolong-menolong antara satu sama lain. Saya mahu kamu semua dapat keputusan yang cemerlang. Kamu semua adalah generasi yang menjadi harapan sekolah untuk mencapai misi dan visi sekolah,” tambah ustazah Nuriyah. Wajah anak muridnya ditatap satu per satu dengan penuh harapan. Walaupun baru tiga tahun bergelar pendidik, namun dia sangat memahami situasi pelajarnya.

Imran memandang Fitri. Fikirannya ligat memikirkan cara untuk membantu sahabatnya. Baginya, kejayaan yang perlu diraikan adalah untuk kejayaan sahabatnya, bukan dirinya.

            “Simpan slip kamu semua. Saya nak kamu semua buat latihan ni. Zaki, tolong edarkan,” Zaki, selaku ketua tingkatan mula mengedarkan latihan yang diberikan ustazah Nuriyah. Semua pelajar mula membuat latihan tersebut.

***

Pada malam hari di perpustakaan, suasana sungguh tenang. Penghuni-penghuni asrama sekolah tersebut tekun menelaah pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah. Pendek kata, semua pelajar di situ memahami tujuan mereka dihantar ke sekolah oleh ibu bapa mereka. Langsir yang berwarna hijau lembut dan alas meja yang berwarna biru laut disertakan dengan pendingin hawa di bilik itu menambahkan lagi mereka ketenangan kepada minda mereka.

Fitri duduk di meja paling belakang. Keseorangan. Tangannya memegang slip keputusan percubaan SPM yang baru diterima pagi tadi. Fikirannya melayang memikirkan keputusan percubaan SPM miliknya. Dia menyesal kerana selalu leka dan tidak mengulang kaji  pelajaran menyebabkan keputusannya menurun. Otaknya ligat memikirkan jawapan jika ditanya tentang keputusannya oleh guru-guru dan kawan-kawannya. 

“Macam mana ni?” omelnya sendirian. “Dah lah dapat 1A je. Pastu ada gagal pulak tu,” gred E bagi subjek Matematik Tambahan dan Sejarah dipandang sayu. Tambahnya lagi, “Ya Allah, apa yang harus aku lakukan ini? Ampuni segala dosaku ya Allah,”. Wajah para guru dan kawan-kawannya terpapar di layar fikirannya.

Namun, Fitri bertambah runsing jika soalan itu ditanya oleh umi dan walidnya. Wajah tenang umi dan walidnya datang dalam fikirannya. 

“Ya Allah, adakah aku telah menghancurkan harapan umi dan walidku?” Fitri membayangkan wajah tenang orang tuanya itu menjadi sedih.

Air mata mula bergenang di kelopak matanya. Menyesal tidak terhingga dirasakan jika harapan umi dan walidnya yang setinggi gunung terhadapnya punah ranah akibat kekhilafannya.

Ketika itu, Imran datang dan duduk di sisi kanannya. Dia mengambil posisi yang selesa untuk duduk.

“Assalamualaikum,” tegur Imran perlahan.

Fitri terperangah. Serta merta air matanya dikesat. 

“Kenapa ni?” tanya Imran. Fitri memandang sayu wajah sahabatnya itu.

“Tak ada apa lah, Rayyan. Cuma ana teringat umi dan walid. Macam mana perasaan umi dan walid kalau tahu keputusan ana ni?” adu Fitri. Fitri sememangnya harapan keluarganya memandangkan dia adalah anak sulung daripada lima beradik. 

“Sabar ya Fakhrul. Mungkin sekarang bukan rezeki anta. Mana tahu, SPM yang sebenar nanti baru Allah makbulkan impian anta. Kan Allah suka menguji hambaNya? Itu maknanya Allah nak anta dekat dengan-Nya.” Nasihat Imran. Otaknya ligat memikirkan cara untuk menyampaikan hasratnya ingin membantu sahabatnya itu.

Imran dan Fitri sememangnya sahabat karib sejak mereka berdua menjejakkan kaki ke sekolah ini lagi. Mereka sering berkongsi masalah dan cuba mencari jalan penyelesaiannya. Bagi Fakhrul, dia bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan sahabat seperti Imran. Imran adalah seorang sahabat yang memahami, setia mendengar masalah dan sering membantunya menyelesaikan masalah.

“Fakhrul, ana ada satu cadangan. Apa kata kita stay up mulai malam ni dan seterusnya?” Imran memulakan bicaranya. Fitri memandang wajah Imran.

“Objektif?”  ringkas soalan Fitri.

“Untuk study la. Andai anta ada soalan or subjek yang anta tak faham, kita boleh lah discuss sama-sama. Nak tak?” terang Imran.

 “Boleh je. Syukran Rayyan,” balas Fitri. Tambahnya, “Terima kasih atas segala nasihat dan sudi menjadi menjadi sahabat ana,” tambah Fitri.

“Kan dah jadi tanggungjawab seorang sahabat untuk sentiasa mengingatkan dan menasihati sahabatnya yang lain ketika mereka khilaf. Ana pun bersyukur pada Allah sebab pertemukan ana dengan anta. Syukran aidon Fakhrul,” jujur Imran. Dia mengambil buku latihannya di atas meja perpustakaan.

Imran menyelak buku latihannya dan mengambil sekeping nota tulisan tangannya. Nota itu diberikan kepada Fitri. Fitri menerima lalu membacanya.

“Assalamualaikum. Ana nak anta pegang kata-kata ni dan jadikan semangat dan penenang hati anta. Insya-Allah. Kata-kata ni Nabi Muhammad SAW beritahu kepada Saidina Abu Bakar r.a ketika mereka bersembunyi di gua Tsur.
La Takhaf Wa La Tahzan. Innallaha Ma’ana,
Janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih hati. Sesungguhnya Allah ada bersama kita.”

Fitri melihat  belakang kertas itu. Terdapat lagu 'Ku Berlari' nyanyian Firdaus bersama Akhbar dan Cat Farish.

“Macam mana lagu ni? Nyanyi sikit,” pinta Fitri.

“Ok, tapi ana nyanyi part korus je,” setuju Imran. Di sekolah, Imran merupakan salah seorang vokalis utama nasyid sekolah. Kedudukannya dirapatkan kepada Fitri untuk melihat lirik lagu itu. Dia menyanyi perlahan.

Dan aku,
Tinggalkan masa kelabu,
Takkan berhenti,
Berlari wujudkan mimpi,
Terus berlari,
Agar hidup ini bererti..

Mendengar nyanyian sahabatnya itu, keazaman Fitri menggunung. Bukan kerana lagu itu, tetapi kerana usaha sahabatnya untuk mengembalikan semangatnya untuk belajar. Nota itu diambil lalu diletakkan didalam buku notanya. 

“Syukran kasiran jiddan jiddan. Syukran ya Allah. Syukran ya sahabati,” ucap Fitri. Imran tersenyum melihat Fitri seperti sudah kembali bersemangat untuk belajar.

“Jom study,” ajak Fitri. Imran mengangguk dan mula membuka buku latihannya.

***

Selama sebulan lebih, Fitri dan Imran banyak belajar bersama-sama. Sejak itu juga, Fitri mula belajar bersungguh-sungguh dan menumpukan perhatian ketika belajar serta rajin bertanya kepada guru-gurunya. Imran sangat menyenangi semangat sahabatnya itu. Fitri pernah memberitahunya ketika mereka bersama-sama stay up di bilik study bahawa orang tuanya meletakkan harapan yang tinggi kepadanya. Sungguhpun keputusan percubaan SPM Fitri agak menurun daripada prestasinya sebelumnya, umi dan walidnya tidak memarahinya kerana memahami tekanan yang dihadapi oleh anak mereka.

“Umi, walid, maafkan Along. Along tak dapat keputusan seperti yang umi dan walid inginkan,” kata Fitri setelah menghulurkan slip keputusan percubaan SPM miliknya kepada ustaz Azri, walidnya. Fitri mesra membahasakan dirinya ‘Along’ di rumahnya. Selepas walidnya melihat slip anaknya itu, dia memberikannya kepada isterinya. Isterinya mengambil lalu meneliti slip tersebut.

“Tak apa lah Along. Mungkin bukan sekarang rezeki Along. Yang penting Along dah cuba,” walidnya memulakan bicara.

“Betul tu Along. SPM yang sebenar nanti Along buat sungguh-sungguh ya,” uminya, ustazah Amirah menambah. “Umi dan walid bukan apa, tapi kalau boleh Along jadi contoh yang baik untuk adik-adik. Biar adik-adik tu lebih bersemangat nak belajar,”.

Fitri tahu, walaupun umi dan walidnya berkata demikian, namun jauh di sudut hati, mereka pasti terkilan dengan keputusannya itu. Dia menanam azam yang tinggi, mahu membanggakan umi dan walidnya serta menjadi teladan kepada adik-adiknya.

“Baiklah umi, walid. Along akan belajar bersungguh-sungguh dan dapatkan keputusan cemerlang macam yang umi dan walid inginkan. Insya-Allah,” jawab Fitri.

***

            Suasana hening. Hanya derapan kaki pengawas peperiksaan yang berjalan kedengaran di dewan peperiksaan Maahad Lughatul Quran. Semua calon SPM fokus menjawab soalan. Fitri duduk di baris kedua lajur keempat. Sekali-sekala, Imran melihat Fitri yang duduk dihadapannya. Dilihatnya Fitri sangat tekun menjawab soalan. Imran lega melihat soalan-soalan yang keluar kebanyakkan telah dibincangkan bersama Fitri. Pasti ia memudahkan dirinya dan Fitri juga.

            Imran kembali menjawab soalan peperiksaannya itu. Fitri pula tidak putus-putus membaca selawat setiap kali dia dapat menjawab soalan. Tips ini diberikan oleh guru Pendidikan Agama Islam, ustaz Adam. Imran juga mengongsikan kepada Fitri doa menghilangkan gementar untuk dibaca sebelum memasuki dewan peperiksaan dan ketika dia buntu mencari jawapan. Imran juga memberikan selawat Fateh kepadanya untuk dibaca sebelum membuka soalan peperiksaan.

            Sepanjang peperiksaan berlangsung, waktu prep calon-calon SPM ini hanya diisi dengan mengulang kaji pelajaran dan perbincangan soalan-soalan tahun lepas. Tidak mahu terlalu tertekan, mereka tidur awal untuk mendapatkan tidur yang cukup. Namun, sebelum tidur, mereka menunaikan solat sunat taubat dan hajat agar dosa mereka diampunkan dan hajat mereka ditunaikan.

***

            Selepas makan malam, Fitri berada biliknya dan dia sedang duduk di meja belajarnya sambil  bersembang di atas talian bersama Imran serta beberapa orang rakannya yang lain. Tiba-tiba, pintu biliknya diketuk. Pintu dikuak sedikit. Terlihat wajah uminya disebalik pintu biliknya itu.

            “Oh, umi. Masuklah umi,” pelawa Fitri. Fitri memalingkan badannya ke arah katil. Uminya masuk lalu duduk di penjuru katil, berhadapan dengan anak sulungnya itu.

“Along, umi nak tanya, bila keputusan SPM keluar?” tanya umi kepada Fitri.

            “Lusa, umi. Along dah pakat dengan Rayyan nak pergi sekolah sama-sama esok. Dah lama sangat kami tak berjumpa. Lagipun, Along pon nak jumpa cikgu-cikgu yang dah mengajar Along selama ini,” jawab Fitri. Wajah-wajah gurunya muncul di fikirannya.

            “Ok. Baguslah macam tu. Malam ni jangan lupa kemas barang. Along ada nak beli apa-apa tak untuk bawak ke sana?” tambah umi.

            Fitri berfikir sejenak. “Rasanya, tak ada umi,”. Ustazah Amirah bangun lalu beredar keluar daripada bilik Fitri.

            Fitri kembali melakukan aktivitinya yang tergendala. Dia menghantar pesanan kepada Imran.

            “Rayyan, umi ana dah setuju ana pergi sekolah esok. Jumpa esok. Ana nak kemas barang dulu ni. Wassalam alaika,” Fitri menekan ‘enter’. Beberapa saat kemudian Imran membalas.

            “Okay. Waalaikumussalam,” Fitri terus menutup komputer ribanya lalu mengambil beg daripada almarinya. Dia mula mengemas baju untuk dibawa pada hari esok.

***

            Pagi itu, langit cerah. Cuaca juga tidak terlalu panas. Bayu pagi masih bertiup lembut. Sawah padi yang terbentang luas di hadapan sekolah itu menambah lagi kesegaran pagi itu. Semua calon menunggu di dewan besar Maahad Lughatul Quran. Mereka segak berpakaian baju batik dan berseluar slack bagi lelaki. Manakala, pelajar puteri sangat ayu memakai baju kurung bertudung labuh. Sangat manis. Jantung mereka berdebar-debar dengan keputusan yang bakal diperoleh.

            Ustaz Jaafar, selaku pengacara majlis tersebut menyebut nama seorang demi seorang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu 11A seramai tujuh. Anugerah turut diberikan kepada mereka kerana berjaya menaikkan imej sekolah tersebut dengan pencapaian mereka itu. Fitri dan Imran semakin berdebar-debar.

            “Pertama, memang tidak dapat disangkal lagi, Muhammad Imran Rayyan bin Ahmad Hamdan,” seluruh pelajar dan guru yang berada di situ bertepuk tangan. Imran segera bergerak ke atas pentas. Dia bersalaman dan mencium dengan ustaz Khairi, pengetua Maahad Lughatul Quran dan menerima sijil penghargaan serta anugerah. Senyumannya melebar. Apabila dia kembali ke tempat duduknya, Fitri mengucapkan tahniah kepada Imran.

            Jantung Fitri berdegup kencang.Walaupun targetnya hanya 8A sahaja, namun dia berasa sangat berdebar-debar. Nama-nama seterusnya sehingga yang keenam masih bukan namanya. Tangannya masih bertepuk kepada kawan-kawannya yang berjaya mendapat 11A itu.

            “Pelajar terakhir yang mendapat 11A ini, dia berjaya membuat kejutan kepada sekolah kita. Dipersilakan Muhammad Fakhrul Fitri bin Mohamad Azri,” Fitri terkejut. Sungguh dia tidak percaya apa yang didengarinya. Dia melafazkan pujian dan syukur kepada Allah. Tepukan paling gemuruh daripada semua pelajar dan guru kedengaran.

            “Pergilah, Fakhrul. Tahniah!” Fitri segera naik ke atas pentas. Dia bersalaman lalu mencium tangan ustaz Khairi. Ustaz Khairi menepuk bahu Fitri.

            “Tahniah! Kamu adalah contoh kepada adik-adik kamu di sekolah ini,” ujar ustaz Khairi. Selepas menerima sijil dan anugerah, Fitri segera turun ke tempat duduknya. Air mata kegembiraannya bergenang.

            Setelah tamat majlis, terdapat beberapa pelajar yang merakam gambar bersama-sama kawan dan guru mereka. Kenangan mereka di Maahad Lughatul Quran tidak mudah mereka lupakan. Hari itu, mereka sangat bersuka-ria. Selepas selesai, Fitri menarik Imran jauh sedikit daripada tempat mereka bergambar.

            “Syukran Rayyan. Syukran kerana anta tolong ana selama ini, sentiasa menyokong ana daripada belakang. Syukran jiddan,” Fitri berjabat tangan dengan Imran lalu memeluknya. Genggaman tangannya tidak dilepaskan. Fitri sangat bersyukur kerana sahabatnya itulah yang membimbing dan mendorongnya sehingga berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Air mata kegembiraannya sekali lagi bergenang di kelopak matanya. Tidak dia dapat membalas budi sahabatnya itu.

            “Bukan ana yang tolong anta. Allah lah yang tolong anta. Ana cuma pendorong anta je, selebihnya terpulang pada diri anta yang nak kejar kejayaan atau tak dan Allah telah bantu anta sehingga anta berjaya. Alhamdulillah,” ujar Imran.

            Pelukan mereka dilepaskan. Namun, tangan masih digenggam erat.

            “Fakhrul, Rayyan, senyum,” gambar mereka dirakam oleh Zaki. Mereka berdua tersenyum lebar. Gambar ini sebagai bukti ukhwah mereka sentiasa terjalin malah semakin kukuh dengan pelbagai rintangan dan halangan yang ditempuhi bersama. Keputusan yang diperoleh Fitri turut menjadi bukti bahawa Allah adalah sebaik-baik penolong. Kita hanya perlu minta kepadaNya dan hendaklah berusaha untuk mendapatkannya serta istiqamah dengan amalan kita. La Tahzan, Sahabati! InnaAllaha ma’ana!

No comments:

Post a Comment